Wednesday, May 5, 2010

PENGENALAN

Kuih-muih Melayu mempunyai pelbagai ciri uniknya yang tersendiri, yang membuatkan penduduk setempat menjadikan sesuatu kuih tersebut sebagai salah satu hidangan yang wajib dalam setiap hidangan. Kuih melayu juga mempunyai pelbagai rupa, bentuk, rasa, warna dan juga baunya.


Negeri Kedah yang terkenal dengan jolokannya, negeri Jelapang Padi. Di sini terdapat banyak tanaman padi yang dijadikan sebagai sumber asas tani penduduk di negeri Kedah. Selain dari tumbuhan padi, terdapat juga tumbuhan lain seperti nipah, kelapa, mempelam dan sebagainya. Dalam kalangan masyarakat Kedah, kuih-muih dan cucur mempunyai tempat yang istimewa dalam budaya makanan. Daripada kuih-muih dan cucur utara ini dapat dilihat keperibadian masyarakat yang umumnya mengutamakan segala yang seni dan halus.

Kuih- muih ini semakin terpinggir namun demikian, kuih-muih tradisional ini masih terdapat di Pekan Rabu, Alor Setar. Walau bagaimanapun, ada juga kuih yang tiada di pekan contohnya, Kuih Gedung Chak. Mendengar namanya sahaja sudah cukup untuk membayangkan keunikan kuih tersebut. Gedung Chak merupakan sejenis kuih melayu masyarakat di Kedah.
Kuih ini terdapat banyak di Pekan Kuala Muda dan di Daerah Yan. Adunan daripada tepung pulut bersama kelapa parut berserta gula Melaka, dibalut dengan menggunakan daun nipah membawa rasa yang enak dan aroma yang wangi.

No comments:

Post a Comment